Monday, February 6, 2012

~Menulis : Bukan Kerana Nama~



Assalamualaikum W.b.t

Semasa jari jemari lincah menekan keyboard notebook untuk menulis artikel ini, saya masih mencari-cari idea. Isu apa pula yang ingin saya tuliskan kali ni. Alhamdulillah, sekali lagi diberikan kekuatan oleh ALLAH untuk terus menyumbang sesuatu yang bermanfaat.  InsyaAllah, selagi  minat yang maha mendalam dalam bidang penulisan ini ada, saya akan terus memberikan komitmen seperti yang telah saya persetujui apabila ‘dilamar’ menjadi sebahagian daripada team Halaqah Maya. Terima kasih yang tak terucap kerana memberikan peluang ini kepada saya.

Saya masih ingat, masa mula-mula ‘berkecimpung’ dalam ‘bidang’ penulisan ini saya masih tercari-cari, apa yang perlu ditulis? Bagaimana ingin menulis sesuatu supaya orang yang membacanya mendapat sesuatu juga. Sesuatu yang bagi saya memberikan tanggapan yang baik-baik saja. Saya bukan meminta untuk diberikan penghormatan di atas tulisan-tulisan saya, tetapi saya mahu orang yang membacanya mendapat manfaat dari apa yang saya tuliskan.

Saya kagum sebenarnya dengan orang yang boleh menulis dan pandai menulis. Bagi saya, mereka yang boleh menulis itu, bukanlah calang-calang orang kerana mereka diberikan keistimewaan untuk menzahirkan rasa dan menulis sesuatu yang boleh dijadikan pengajaran kepada semua sama ada secara formal atau pun tidak formal. Apa yang boleh saya katakan, saya menulis bukanlah secara formal. Kerana saya menulis mengikut cara saya berfikir dan melalui pemerhatian dari apa yang berlaku di sekeliling saya. Dan saya baru tahu yang penulisan juga mendapat tempat yang paling penting di dalam islam. 



Kenapa dikatakan penting? Kerana melalui penulisan, banyak ilmu yang boleh disebar-sebarkan dan dikongsi-kongsikan kepada orang lain. Baru-baru ni saya terjumpa satu fakta dalam buku teks subjek CTU adik junior saya yang mengatakan perkembangan tamadun islam itu sendiri bermula daripada penulisan. Betapa pentingnya penulisan dalam tamadun islam kita sehingga mendapat tempat yang teratas sekali. 

Melalui artikel yang ditulis oleh Ustaz Syed Hasan Alatas, beliau mengatakan yang melalui penulisan, seseorang itu lebih boleh meningkatkan rasa ketaqwaan terhadap ALLAH S.W.T disamping cuba untuk mendapatkan keredhaanNya.

Bila ada yang bertanya, “macam mana dapat idea nak menulis ni?”

Saya selalu katakan yang, idea itu datangnya apabila kita minat sesuatu yang kita buat tu. Tapi, sebenarnya apa saja idea yang datang tu, adalah ilham yang diberikan oleh ALLAH S.W.T kepada kita. Saya berpegang kepada konsep, menulis sesuatu yang baik saja, kerana melalui penulisan itu, orang akan tahu menilai diri kita. Walaupun cara saya menulis (di blog) lebih kepada konsep santai, tapi saya suka menyelitkan sedikit orang kata ‘lesson’ daripada apa yang saya tulis. Ustaz Syed Hasan Alatas turut menyebut di dalam artikelnya, seorang penulis itu, tidak akan berjaya tanpa menjadi pembaca terlebih dahulu. Jadi, apa jua yang saya tuliskan, adalah dari apa yang saya baca, dengar dan juga lihat. 

Saya masih insan yang kurang ilmu untuk berdakwah. Tapi, apa yang boleh saya buat untuk membantu usaha dakwah sahabat-sahabat sekalian adalah dengan cara menyampaikan sesuatu melalui tulisan yang tak seberapa ini. Semoga kita semua mendapat manfaat daripada apa yang ditulis dan dibaca. Saya menulis bukanlah kerana nama, tetapi saya menulis kerana ini minat saya. InsyaAllah, daripada minat ini saya cuba memberikan sesuatu untuk dijadikan panduan dalam melalui kehidupan sehari-harian. Tulisan ini tanda kasih sayang kita semua. Semoga melalui penulisan yang serba kekurangan ini dapat menjadikan kita insan yang lebih baik daripada semalam, hari ini dan insyaAllah hari-hari seterusnya jugak. Amin. Sekian daripada saya, insan yang lemah ini.

Nota : Suka dengar lirik lagu “Bukan kerana Nama” daripada Ramli Sarip yang berbunyi begini..Dengarlah hai teman…dengarkan bersama..aku menulis bukan kerna nama… kerna sifat kasih..pada sesama insan..untuk menytakan kasih sayangku…kita sama..semuanya sama..apa yang ada..hanyalah kehidupan..

Nota : Artikel ni semuanya ditulis untuk Halaqah Malaysia . saya salah sorang kolumnis di situ.. boleh la klik kat tulisan merah tu untuk tahu ape itu Halaqah Malaysia..:)

No comments:

Post a Comment

Comments system

Disqus Shortname

Maybe yang korang cari ada kat sini...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...