Monday, February 6, 2012

~Kegagalan Punca Kejayaan~

     Assalamualaikum sahabat-sahabat. Maaf, agak lama tidak menulis di Halaqah Maya ni. Bukan apa, mencari ilham yang tak kunjung tiba ni membuatkan saya jadi takut untuk menulis. Takut ke lain jadinya tulisan saya ni. Hehe. Saya nak tanya sahabat-sahabat HM semua khususnyalah, ada tak yang tidak pernah gagal dalam kehidupan masing-masing? Rasanya semua pernah gagal kan? Tipulah kalau tak pernah. Rasanya semua orang pernah gagal. Saya sendiri antara yang selalu gagal dalam hidup. Tapi, saya tak pernah menjadikan kegagalan tu sebagai salah satu sebab untuk saya terus berputus asa.


     Saya bukan budak pandai. Saya selalu gagal. Sampai sekarang, saya sendiri tak percaya, macam mana saya boleh belajar sampai ke tahap ini. Alhamdulillah, jika diizinkan ALLAH akan sambung ke peringkat ijazah pula lepas ni. Bayangkan, saya yang selalu gagal ni diberi peluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Sedangkan ramai sahabat-sahabat saya yang lebih hebat keputusan peperiksaannya tidak dapat peluang seperti saya. Perancangan ALLAH kan? Siapalah kita untuk menidakkannya.




     Bila diingat-ingat kembali, tiada yang boleh dibanggakan pun dengan apa yang saya perolehi. UPSR sekadar cukup makan, PMR pula lebih teruk dari cukup makan, dan SPM pula menambahkan lagi ketidakcukupan itu. Tapi, Alhamdulillah saya dapat juga sambung belajar di salah sebuah IPT. Rahsianya? Saya tak ada rahsia apa pun. Cuma saya percaya, kalau kita ada kemahuan, di situ ada jalan untuk kita. Saya selalu ingatkan diri saya, saya bukan orang senang. Emak ayah saya bukan Doktor, bukan Engineer, bukan juga Peguam. Mereka hanya orang biasa yang bekerja biasa. Yang sentiasa membanting tulang untuk menyara saya adik beradik. Jadi, kalau bukan saya dan adik-beradik yang nak ubah nasib keluarga kami, siapa lagi kan? Harapan mak dan ayah tu saya jadikan pendorong untuk saya. Tak kisahlah kalau tak pandai pun. Yang penting bagi saya, merealisasikan harapan mak dan ayah saya itu adalah yang paling utama. 


     Ramai kawan-kawan saya yang gagal sekali, tapi seakan-akan macam sudah gagal berkali-kali. Saya selalu menjadikan ‘cerita gagal’ saya sebagai contoh. Saya selalu katakan yang saya bukan orang pandai. Saya bukan orang yang cemerlang. Tapi, saya mahu jadi orang pandai dan cemerlang di dunia dan akhirat. Yang penting semangat. Usaha tangga kejayaan. Kejayaan takkan datang bergolek kalau tiada usaha dari kita sendiri. 




      Saya selalu jadikan orang-orang yang berjaya sebagai idola saya. Tak kiralah siapa dia. Waima jiran-jiran saya pun kalau dia antara orang yang berjaya, saya akan ‘angkat’ dia sebagai idola. Ramai yang mengaku Rasulullah S.A.W sebagai idola. Tapi, berapa ramai yang sanggup ikut cara Rasulullah S.A.W? Satu sifat yang wajar kita contohi dalam diri Rasulullah selain akhlaknya, tak lain dan tak bukan adalah sifat sabar baginda. Baginda sentiasa bersabar dalam menegakkan islam. Sentiasa bersabar dalam menyebarkan dakwah walaupun Rasulullah tidak tahu membaca. 


      Saya ingat lagi baru-baru ni. Keputusan peperiksaan akhir semester keluar. Ramai yang mengadu kat saya tentang kegagalan mereka. Ada yang kata hilang mood nak belajar. Ada yang kata, susahlah belajar ni. Ada jugak yang kata, sampai sini sajalah. Belajar tinggi-tinggi pun asyik failed je. Saya hanya mampu tersenyum dan tersengih sorang-sorang di depan laptop. Mungkin mereka-mereka ni adalah orang yang tak pernah gagal dalam hidup.                    


    Sebenarnya, takkan ada kejayaan jika tidak dari kegagalan. Kalau orang selalu kata yang “Usaha Tangga Kejayaan”, tapi saya katakan yang “Kegagalan Punca Kejayaan”. Lain benar bunyinya kata-kata saya ni. Tak mengapa kerana setiap orang ada pendapat dan pandangan yang berbeza. Macam tu jugak dengan kejayaan dan kegagalan. Setiap orang pernah gagal. Setiap orang pernah berjaya. Tapi, dari mana datangnya kejayaan itu? Semestinya dari kegagalan bukan? 


    Kesimpulannya, sejauh mana kita melangkah dalam hidup ini. Kita tak pernah lari dari kegagalan. Ingatlah sahabat-sahabat, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kita hanya merancang, ALLAH jua yang menentukan. Yang penting semangat untuk menuju kejayaan itu ada. Sama-samalah kita muhasabah diri. Semoga kegagalan hari ni, menjadikan kita lebih mendekati ALLAH.. dan lebih bersyukur dengan apa yang ALLAH berikan kepada kita. Sekian dari saya insan yang lemah ini.

1 comment:

  1. salam....nukilan yg efektif....

    Kegagalan Punca Kejayaan” a good sentence...

    sudi2lah berkunjung

    www.kuburakhirat.com

    ReplyDelete

Comments system

Disqus Shortname

Maybe yang korang cari ada kat sini...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...